12 March 2010

S. Farzin usahawan cendawan tiram kelabu

JOHOR

12 Mac 2010 / 26 Rabiul Awal 1431


S.Farzin Jafar sedang melihat bongkah cendawan di dalam bangsal yang diusahakannya di Kampung Sri Bukit Panjang, Pontian, baru-baru ini.


PONTIAN 11 Mac - Walaupun bermula sebagai kontraktor binaan dan kerja-kerja besi, namun S. Farzin Jafar, 33, kini mampu bergelar usahawan tanaman cendawan tiram kelabu yang berjaya.

Walaupun bidang pertanian pada awalnya adalah sesuatu yang asing, namun beliau membuktikan minat mampu mengatasi segalanya.

Bagi S. Farzin dari Kampung Sri Bukit Panjang, di sini, usaha beliau bermula di dalam bilik di rumahnya dengan menyediakan 500 bongkah cendawan.

Beliau juga mengakui tidak mempunyai asas serta pengetahuan mengenai tanaman tersebut tetapi telah mempelajari tekniknya daripada seorang pengusaha cendawan yang berjaya di Kampung Parit Betak, Benut.

Menurutnya, daripada 500 bongkah awalnya, beliau kini mempunyai 18,000 ribu bongkah cendawan di dalam empat bangsal yang dibina dengan perbelanjaannya sendiri.

"Sebanyak RM30,000 telah dibelanjakan bagi membina bangsal atau rumah cendawan, membeli mesin pembancuh habuk, alat pengukusan, habuk kayu dan sebagainya," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, terdapat lebih kurang 30,000 jenis cendawan di seluruh dunia dengan 5,000 daripadanya boleh dimakan.

Katanya, bagaimanapun di Malaysia, daripada 5,000 spesies yang ada, hanya 17 jenis sahaja yang boleh dimakan.

Jelas S. Farzin, melalui pembelajaran yang diikuti, beliau membuat sendiri bongkah cendawan yang diisi dengan habuk kayu getah serta dicampurkan dengan dedak gandum serta sedikit habuk kapur.

"Benih cendawan yang diperoleh daripada pembekal akan diletakkan selepas bongkah cendawan atau beg media dikukus selama lapan jam," ujarnya.

Katanya, cendawan tiram kelabu yang diusahakan itu biasanya mengeluarkan hasil selepas 60 atau 70 hari ditanam dan akan tumbuh semula selepas dua atau tiga hari hasilnya dituai.

"Bagi sesuatu bangsal atau rumah cendawan, ia mampu menempatkan sebanyak 5,000 bongkah cendawan atau beg media yang disusun di atas rak," ujarnya.

Mengenai pasaran cendawannya, beliau memberitahu, selain dipasarkan di daerah Pontian, beliau juga menghantarnya ke sebuah syarikat biotek di Kulai yang akan memasarkannya ke Kuala Lumpur.

Tambah beliau, matlamatnya ketika ini ialah untuk memperoleh kira-kira 100 kilogram cendawan tiram kelabu sehari dengan menambah dua lagi bangsal pada tahun ini.

Selain mengusahakan tanaman cendawan, S. Farzin juga kini bertindak sebagai mentor' kepada mereka yang berminat untuk melibatkan diri dengan kegiatan yang menguntungkan itu.

"Saya kini mempunyai dua orang pengusaha cendawan yang terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU)," ujarnya.

Di samping itu, beliau turut menganjurkan kursus asas penanaman cendawan tiram kelabu.

02 January 2010

Tambahan bangsal dan pejabat

JCB pun dah masuk tapak projek, bermulalah kerja-kerja meratakan tanah untuk tapak bangsal baru


Kerja-kerja meratakan tanah yang sedang rancak dibuat.



Bahagian yang diratakan untuk laluan ke bangsal..


Akhirnya muncul juga. Pemegang saham terbesar dalam KCS Agrofarm "Ajin" bersama hasil cendawan yang sedang dituai.


Berbunga hati melihat hasil dari usaha berterusan. Semoga Allah berkati usaha kami semua.

07 November 2009

Terbaru dan mantee


Ini cerita kami, Beg cendawan yang telah siap disusun di rak


Bangsal terbaru yang telah siap pembinaan

Lawatan ke tempat perusahaan cendawan En Asyid yang merupakan salah satu mantee "anak didik" kami yang telah memulakan perniagaan cendawan setelah tamat kursus.

Bangsal cendawan beliau


Kawasan perusahaan En Asyid, permulaan berkat kesungguhan beliau

27 October 2009

Kiasan berita baru


Penglibatan orang kuat terbaru KCS, saudara ewan "baju putih" memegang bahagian operasi bersama pekerja yang dari kawasan setempat.


Ini menyeronokkan, pembinaan bangsal baru. Insyallah boleh memuatkan 15,000 beg cendawan. Semua kakitangan KCS terlibat dalam pembinaan.


Sebahagian struktur bangsal telah siap. Kerja diteruskan.


Pembinaan tapak pemprosesan selepas binaan bangsal di tapak operasi yang baru.


Bilik suntik yang berhawa dingin melengkapkan operasi pembuatan beg cendawan.


Bahagian kukus dan penyimpanan cendawan "peti ais"

17 August 2009

Pemprosesan Baru Siap

Hasil usaha bersama dengan orang kuat KCS "Ajin". Berjaya juga menyiapkan tempat pemprosesan beg media dengan tulang 4 kerat..

Bilik suntik dah guna aircon..hehehe..keras la menyuntik nanti..

Peti ais pun dah ada untuk tempatkan benih, hasil cendawan sementara belum diedar @ dijual.

Persekitaran tempat proses. Dalam usaha mendapatkan mesin bagging samaada 1 slot atau 7 slot.insya'allah




Sekitar pandangan bangunan, beratapkan nipah. "Ajin berbaju merah" sebalik kanves biru. Dalam kanves tu habuk kayu getah.

29 May 2009

TERBARU DARI LADANG..hehe

As'salamualaikum semua.. Ini aktiviti ulangan yang terbaru iaitu "Kursus Cendawan" dari ladang KCS Agrofarm. Selain itu, aktiviti biasa seperti eksperimen teknologi cendawan, membuat beg media je.. Sebab tu tak banyak cerita dari pihak kami. Kali ni, seorang peserta wanita turut serta kursus kami. Kursus kali nie disertai 4 orang peserta dan konsep kursus diubah dalam bentuk mesyuarat.



Macam biasa, praktikalnya dalam penanaman cendawan diserah tugas pada peserta. Biar peserta merasai sendiri cara pemprosesannya.



Teknik memadat beg media satu senaman yang baik..hehe

Kisahnya memang sampai di sini sebab aktiviti seterusnya di kawasan baru projek kami. Jadi, tak berkesempatan tok ambil gambar seterusnya. sekian, sebarang pertanyaan boleh hubungi kami..

08 July 2008

Artikel

CENDAWAN POTENSI RAIH PENDAPATAN LUMAYAN,

Kerajaan disaran melihat potensi tanaman cendawan tiram kelabu, dalam usaha membasmi kemiskinan tegar seluruh negara. Dekan Fakulti Agro Industri Sumber Asli Universiti Malaysia Kelantan, Dr Ibrahim Che Omar, berkata potensi pulangan adalah berdasarkan pengeluaran daripada 12,000 polibeg, dengan anggaran kutipan membabitkan 800 beg sehari, bermakna pengusaha mampu mengeluarkan 40 kilogram sehari.

Berdasarkan harga borong RM5 sekilogram,pengusaha cendawan mampu memperoleh pendapatan sehingga RM6,000 sebulan. Beliau berkara, kos permulaan kira-kira RM40,000 bagi rumah cendawan, ruang penyediaan, habuk kayu, gas, penyumbang beg, set dapur dan dedak halus serta beberapa peralatan lain. “ Ada lebih kurang 30,000 jenis cendawan seluruh dunia dengan 5,000 daripadanya boleh dimakan tetapi di Malaysia daripada 5,000 spesis yang ada, hanya 17 yang boleh dimakan.”

Katanya, cendawan tiram dianggap mempunyai penggemar yang ramai di seluruh dunia kerana khasiat sebagai antioksida serta pilihan yang baik menggantikan protein haiwan dan dipercayai boleh mencegah barah. Ia bertujuan memberi pendedahan berkaitan penanaman cendawan supaya dijadikan aktiviti ekonomi harian dan aspek keusahawanan turut diterapkan.